fbpx
RUSSELL meneruskan kecemerlangan apabila memenangi perlumbaan sprint GP China di Shanghai semalam. - AFP

Russell menang sprint GP China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHANGHAI – Bintang Mercedes Formula Satu (F1), George Russell meneruskan permulaan cemerlang musim 2026 apabila menjuarai perlumbaan sprint pada Grand Prix (GP) China, menewaskan cabaran sengit daripada pelumba Ferrari.

Russell yang sebelum ini memenangi pembuka musim di Australia, menamatkan perlumbaan di hadapan Charles Leclerc dengan kelebihan 0.6 saat pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Shanghai semalam.

Perlumbaan bermula dramatik apabila Russell terpaksa bersaing sengit dengan rakan senegaranya, Lewis Hamilton yang menukar kedudukan pendahulu beberapa kali pada lima pusingan pertama.

“Lewis melakukan kerja yang menakjubkan dan dia benar-benar mengejutkan saya pada awal perlumbaan,” kata Russell.

Pengalaman Hamilton nyata memberi cabaran awal, namun Russell berjaya menguasai perlumbaan selepas memintas pelumba Ferrari itu sekali lagi dan melebarkan jurang.

“Dia menggunakan pengalamannya dengan sangat baik. Kami bertarung hebat pada beberapa pusingan pertama, tetapi akhirnya saya berjaya mengawal perlumbaan,” jelas Russell.

Leclerc mengambil kesempatan memintas Hamilton untuk meraih tempat kedua, manakala juara dunia tujuh kali itu hanya mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

“Ia pertarungan yang sengit. Kelajuan mereka di laluan lurus agak sukar untuk ditandingi. Saya cuba bertahan sebaik mungkin, tetapi tayar saya cepat haus,” kata Hamilton.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Russell di tangga teratas carta kejuaraan dunia selepas dua perlumbaan sekali gus menegaskan dia antara pencabar utama musim 2026. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN