PETALING JAYA – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Datin Paduka Seri Afzaa Fadini telah berkenan mencemar duli menyantuni penghuni wanita dan kanak-kanak di Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Rumah Kita, (Rumah Kita) di Pandan Jaya bersempena Program Ziarah Ramadan 2026.
Program kebajikan tahunan ini dianjurkan oleh Selangor Youth Community (SAY) dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor bertujuan untuk memperkukuhkan semangat keprihatinan sosial dan menggalakkan penglibatan sektor korporat dalam membantu komuniti yang memerlukan.
Menurut kenyataan, dalam program tersebut, Tengku Amir meluangkan masa bersama penghuni Rumah Kita dan para sukarelawan serta rakan korporat yang menyumbang kepada usaha kebajikan ini.

Baginda turut meninjau kemudahan kediaman serta menyampaikan sumbangan kepada penghuni dan bayi yang berada di bawah jagaan organisasi tersebut.
“Program ini juga menjadi platform untuk menghargai sumbangan pelbagai syarikat korporatyang telah menyalurkan dana dan bantuan bagi menaik taraf kemudahan Rumah Kita serta menyediakan keperluan asas kepada para penghuni,” jelas kenyataan itu.
Sepanjang bulan Februari lalu, beberapa aktiviti pra Ziarah Ramadan telah dilaksanakan termasuk kerja-kerja gotong-royong membersih dan mengecat semula kediaman
Rumah Kita yang telah ditubuhkan pada tahun 2015 menyediakan perlindungan sementara, sokongan psikososial serta penjagaan materniti kepada wanita yang memerlukanperlindungan termasuk mangsa keganasan seksual dan wanita yang menghadapi kehamilan tidak dirancang.

Melalui kerjasama antara SAY, Yayasan Raja Muda Selangor dan rakan strategik korporat, program ini berjaya memberi manfaat kepada puluhan penghuni serta menyumbang kepada penambahbaikan persekitaran kediaman mereka.
Antara organisasi dan rakan korporat yang menyokong program tersebut adalah
Nestle Malaysia, Bridge Data Centres Malaysia, Worldwide Holdings Berhad,
• FGV IFFCO Malaysia dan Khind Malaysia.
Sumbangan lain turut diterima daripada Khind Malaysia, Eskayvie Sdn Bhd,
BookXcess, FM Group, NGO Kita Haid, RWRD dan juga Majlis Perbandaran Ampang Jaya. -KOSMO! ONLINE














