SEBERANG PERAI – Ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat mendorong Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mempergiat usaha mencari pasaran alternatif bagi memastikan perdagangan negara terus kekal berdaya saing.
Pengerusinya, Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah itu termasuk menyediakan pelaporan berdasarkan ‘Terms of Reference’ (ToR) baharu bagi memastikan hala tuju perdagangan negara dapat dirancang secara lebih strategik.
“Secara adilnya kita tidak boleh menafikan bahawa konflik di Asia Barat akan memberi kesan kepada perdagangan, bukan sahaja Malaysia tetapi juga perdagangan global.
“Bayangkan jika Selat Hormuz ditutup, ia boleh menjejaskan laluan maritim dan mengganggu rantaian bekalan.
“Bagi sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), bukan semua dibuat di Malaysia, sebahagian komponen adalah produk separa siap yang dihasilkan di negara lain maka akan ada gangguan rantaian bekalan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kasih Ramadan dan Ceria Aidilfitri Parlimen Kepala Batas kepada 700 penerima di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara pasaran yang dikenal pasti berpotensi untuk diteroka ialah negara Asia Tengah seperti Kazakhstan, Turkmenistan, Tajikistan dan Uzbekistan yang sedang berkembang serta menunjukkan peningkatan permintaan.
Selain itu, katanya Matrade turut mempergiat integrasi perdagangan dalam kalangan negara Asean bagi mengukuhkan pasaran serantau.
“Tahun lepas kita berjaya melepasi nilai perdagangan RM3 trilion dengan eksport sekitar RM1.6 trilion, dan kita mahu momentum ini dikekalkan walaupun cabarannya bukan mudah,” katanya. -KOSMO! ONLINE














