KUALA TERENGGANU – Orang ramai digesa agar menghentikan perbuatan bermain mercun dan bunga api secara terbuka di lokasi tumpuan di bandar raya ini dan Kuala Nerus yang dikesan semakin menjadi-jadi pada bulan Ramadan ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kes pembakaran mercun dan bunga api secara terbuka kerap dilaporkan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus serta Pantai Batu Burok, di sini.
Beliau berkata, perbuatan bermain mercun dan bunga api itu bukan sahaja mengganggu ketenteraman malah telah menyebabkan kecederaan orang awam.
“Saya ingatkan orang ramai di Dataran Drawbridge (Jambatan Angkat Kuala Terengganu), Pantai Seberang Takir dan Batu Burok supaya tidak melakukan pembakaran mercun sewenang-wenangnya.
“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan gangguan awam dan Seksyen 286 akta sama iaitu kecuaian melibatkan bahan letupan,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! 12 Mac lalu melaporkan seorang wanita trauma akibat dibaling mercun sewaktu sedang berbuka puasa bersama keluarganya di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Insiden itu menyebabkan betis peniaga berusia 37 tahun tersebut melecur selain kain dipakainya berlubang terkena percikan mercun terbabit.
Azli berkata, pemantauan akan dipertingkat di lokasi-lokasi panas tersebut terutama pada waktu malam bagi membasmi aktiviti pembakaran mercun dan bunga api. – KOSMO! ONLINE














