fbpx
Bebola api meletus selepas Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan sebuah bangunan di kampung Abbasiyyah, selatan Lubnan baru-baru ini. - AFP

12 kakitangan perubatan Lubnan terbunuh dalam serangan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEIRUT – Sekurang-kurangnya 12 pegawai perubatan terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah pusat kesihatan di selatan Lubnan, menjadikan angka kakitangan yang terkorban seramai 31 orang dalam tempoh 12 hari lalu, lapor akhbar The Guardian.

Sebuah pusat kesihatan di bandar Burj Qalaouiyah diserang tentera Israel lewat kelmarin sehingga menyebabkan kebakaran, manakala kakitangan yang berada dalam bangunan itu terperangkap di bawah runtuhan. 

Serangan tersebut membunuh doktor, paramedik dan jururawat yang bertugas, demikian menurut Kementerian Kesihatan Lubnan sambil menambah, Israel melanggar semua undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia menegaskan bahawa serangan ke atas pegawai perubatan merupakan jenayah perang, tanpa mengira gabungan politik mereka. 

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata: “Pembunuhan 14 pegawai kesihatan dalam tempoh 24 jam yang lalu di selatan Lubnan menandakan perkembangan tragis dalam krisis Asia Barat yang semakin memuncak.”

Kenyataan itu dibuat ketika beliau mengulas mengenai kematian 12 pegawai perubatan dan dua paramedik yang terbunuh lebih awal pada hari sama, dalam serangan Israel ke atas sebuah pusat kesihatan di Al Sowana. 

Israel melancarkan sekurang-kurangnya 37 serangan udara ke atas kakitangan dan kemudahan kesihatan di Lubnan termasuk pertahanan awam negara serta Pertubuhan Palang Merah Lubnan (LRC) sejak permusuhan bermula, demikian menurut pihak berkuasa. 

Sekurang-kurangnya 826 orang terbunuh di Lubnan akibat serangan Israel, manakala kira-kira satu juta lagi kehilangan tempat tinggal, demikian menurut kementerian itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI