fbpx
Mohd. Khalid Ismail pada sidang akhbar pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan Jenayah di Menara 1, Bukit Aman di sini, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

Zamri Vinoth, Tamim Dahri dikesan lari ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan dua individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes berkaitan ketenteraman awam dan sensitiviti agama dipercayai telah melarikan diri ke Thailand.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, hasil risikan mendapati kedua-dua suspek iaitu Zamri Vinoth dan Tamim Dahri telah meninggalkan negara dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.

Menurutnya, siasatan terhadap Zamri Vinoth berhubung kenyataan penganjuran perhimpunan di pekarangan Sogo Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu telah selesai dijalankan.

“Kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan arahan pertuduhan akan dibuat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PDRM turut mengesahkan siasatan terhadap Tamim Dahri berhubung tindakan merosakkan soolam, iaitu simbol suci bagi penganut agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi juga telah selesai.

Menurutnya, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah dengan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana merosakkan atau mencemarkan benda yang dianggap suci oleh mana-mana golongan agama.

“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan terhadap Zamri Vinoth berkaitan kenyataan yang didakwa berbaur penghinaan terhadap kaum India pula telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang untuk arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

“Kedua-dua suspek akan didakwa dalam tempoh terdekat sebaik sahaja mereka berjaya dikesan dan dibawa pulang ke negara ini,” katanya.

Mohd. Khalid menegaskan, PDRM komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI