PETALING JAYA – Penceramah bebas, Zamri Vinoth menafikan melarikan diri ke Thailand selepas dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes berkaitan ketenteraman awam dan sensitiviti agama.
Perkara itu dikongsikan peguam Aidil Khalid, yang memuat naik tangkap layar kenyataan Zamri yang dibuat di Facebook hari ini.
Menurut Aidil, bagaimanapun, hantaran tersebut dipercayai telah diturunkan.
Dalam kenyataan itu, Zamri yang sebelum ini lantang membangkitkan isu pencerobohan mempersoalkan alasan mengapa dia dituduh.
“Kenapa hanya saya pula nak kena tuduh? Apa kesalahan saya? Apa yang saya hasut? Takda pun orang kita yang pergi serang sesiapa?
Takda pun bakar kereta sesiapa? Takda pun serang rumah sesiapa?,” soalnya.
Pada masa sama, Zamri turut menegaskan bahawa tiada keperluan untuk melarikan diri.
“Kenapa pula saya nak lari? Saya dah pernah cakap banyak kali kalau nak tangkap saya tangkap (mereka yang menghasut) juga dan kalau nak dakwa saya maka dakwa mereka juga.
“Saya sendiri akan pergi jumpa Ketua Polis Negara (IGP) jika perlu insya-Allah. Saya tak lari dan tiada keperluan pun untuk lari,” katanya.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan dua individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes berkaitan ketenteraman awam dan sensitiviti agama yang dipercayai telah melarikan diri ke Thailand.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilaporkan berkata, hasil risikan mendapati kedeua-dua suspek iaitu Zamri Vinoth dan Tamim Dahri telah meninggalkan negara.
Menurutnya, usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand. – KOSMO! ONLINE














