JOHOR BAHRU – Seorang guru besar sekolah rendah ditahan polis setelah dipercayai mencederakan seorang murid tahun satu di sekolah berkenaan, di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu ditemui dalam keadaan trauma dan cedera di dalam tandas sekolah tersebut.
Beliau berkata, pihaknya bertindak menahan suspek lelaki berusia 48 tahun itu bagi membantu siasatan sejurus menerima laporan polis dibuat bapa mangsa.
Katanya, mengikut laporan pengadu, suspek itu disyaki telah memukul mangsa sehingga cedera ketika di kantin sekolah pada pukul 7.39 pagi, Selasa lalu.
“Kita menerima laporan dibuat seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun pada pukul 9.46 pagi yang memaklumkan bahawa anak lelakinya telah dipukul oleh guru besar di sekolah tempat anaknya belajar.
“Bertindak atas maklumat, pada hari yang sama, polis menahan suspek di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara pada pukul 4.55 petang,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, tukar satu hantaran di Facebook yang dimuat naik ibu saudara mangsa yang memaparkan keadaan kanak-kanak itu ketika ditemui.
Katanya, kanak-kanak itu hadir ke sekolah seperti biasa pada hari kejadian dihantar oleh abang kandungnya sebelum keluarga mendapat panggilan yang memaklumkan kanak-kanak itu ditemui dalam tandas sekolah dalam keadaan cedera.
“Kakak saya dan suaminya terus bergegas ke sekolah dan mendapati anak mereka dalam keadaan trauma, dengan luka dan darah di bahagian mulut serta muka yang bengkak.
“Anak saudara saya kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk rawatan lanjut. Dia memaklumkan bahawa dia dipukul oleh guru besar sekolah,” tulisnya.
Menurut Radin Ramlan, semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga mendapati dia negatif dadah.
Katanya, suspek telah dibawa ke mahkamah dan mendapat perintah reman selama tiga hari berakhir semalam, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu mana-mana orang yang mempunyai jagaan terhadap seorang kanak-kanak dan menganiaya, mengabaikan, meninggalkan atau mendedahkan kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kepada kanak-kanak berkenaan,” ujarnya.














