PONTIAN – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Daerah (MTD) berkaitan isu hakisan pantai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, kehadiran Menteri Besar itu sempena lawatan turun padang ke daerah-daerah di negeri Johor pada tahun ini.
Katanya, isu hakisan pantai yang berlaku di beberapa lokasi seperti di Lorong Sayong Kampung Rimba Terjun, Taman Sri Pantai dan lain-lain lokasi memerlukan perhatian khusus daripada Kerajaan Negeri Johor.
“Alhamdulillah, Kementerian Peralihan Tenaga dan Tranfomasi Air telah meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi kerja-kerja awal dan penilaian di kawasan berlakunya hakisan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian Bantuan Kasih Johor bagi DUN Kukup di Dewan Orang Ramai Permas.
Kosmo! pada 8 Oktober lalu menyiarkan keluhan penduduk di Lorong Sayong yang melahirkan kebimbangan dengan keselamatan keluarga mereka apabila tanah pusaka yang didiami sejak 40 tahun lalu semakin dihakis ombak. – KOSMO! ONLINE














