MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan pasukannya enggan terlalu memikirkan mengenai persaingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang semakin sengit kerana berdepan dengan jadual padat ketika ini.
Menurut Guardiola, masih terlalu awal untuk bercakap mengenai kedudukan liga kerana baki sembilan perlawanan masih boleh mengubah apa sahaja keputusan.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku dalam sembilan perlawanan seterusnya dan saya langsung tidak bercakap mengenai perkara itu dengan pemain.
“Saya tidak berbincang tentang kedudukan atau carta liga. Jika anda tanya saya apabila tinggal dua atau tiga perlawanan sahaja, barulah saya boleh beri jawapan yang spesifik.
“Apa yang pasti, masih banyak perlawanan yang perlu diharungi pada saingan musim ini dan apa sahaja boleh berlaku. Cuma, kali ini kita bersaing dengan pemain-pemain baharu yang kurang pengalaman pada situasi pemburuan liga di saat yang genting,” katanya.
Sebagai rekod, The Citizens ketika ini mengumpul 60 mata selepas mengharungi 29 perlawanan, dibezakan tujuh mata dengan pendahulu, Arsenal yang beraksi lebih satu aksi musim ini.
Sementara itu, beliau turut memuji impak segera yang dipamerkan penyerang baharu, Antoine Semenyo sejak menyertai pasukan dari Bournemouth.
“Semenyo mempamerkan prestasi yang bagus dan dia ada kebolehan beraksi di mana-mana posisi serangan. Kami tahu kemampuannya sejak di Bournemouth lagi dan saya hadap dia dapat terus memberikan impak,” katanya. – AGENSI














