PETALING JAYA – Seorang lelaki dijumpai terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di badan di sebuah rumah kedai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.20 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa lelaki tempatan berusia 50 tahun meninggal dunia dipercayai akibat tikaman di dada. Proses bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














