SEBERANG PERAI – Suami kepada wanita yang ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran rumah mereka di Kampung Guar Kepayang, Kepala Batas di sini, petang semalam dikatakan berkali-kali cuba menarik mangsa keluar dari bilik tidur mereka tetapi gagal.
Anak ketiga kepada Siti Aisyah Ahamad, 58, iaitu Mohammad Nazrul Nizam, 35, berkata, ayahnya, Yacob Aziz, 66, berusaha menyelamatkan ibunya daripada terperangkap dalam kebakaran tetapi api marak terlalu pantas dari bilik tepi, dapur dan bilik tidur ibu.
Menurutnya, dia tidak menyangka ibunya pergi dalam keadaan menyayat hati lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan.
“Semasa kejadian, saya berada di rumah yang terletak tidak jauh dari rumah emak. Saya dimaklumkan kejadian daripada rakan dan terus datang ke sini.

“Sebaik sampai, ayah dan abang telah dibawa ke hospital akibat kecederaan melecur manakala emak pula ditemui dalam keadaan sedih, ditimpa kayu pada badan dan muka.
“Saya dimaklumkan, ayah berkali-kali keluar masuk rumah untuk tarik ibu keluar tapi tak berjaya sebab api terlalu marak. Abang pula selamatkan anak saudara emak berusia lapan tahun yang semasa itu berada di dalam rumah ini,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka, malam tadi.
Mohammad Nazrul memberitahu, kediaman keluarga itu dihuni ibu bapanya bersama lima adik beradik yang lain.
“Semasa kejadian, hanya ada emak, ayah, abang kedua dan anak saudara emak yang dijaganya sejak kecil.
“Saya reda dengan apa yang berlaku. Memang emak selalu beritahu yang dia nak meninggal pada hari Jumaat. Apa yang dia cakap, jadi kenyataan,” ujarnya jenazah ibunya kini berada di Hospital Kepala Batas.
Mengulas lanjut, dia memberitahu, ibunya bukan bersatus orang kurang upaya (OKU) cuma dia mengalami sakit lutut dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat.
Tambah Mohammad Nazrul, jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tuan Samad, Permatang Sungai Dua sejurus selesai proses bedah siasat.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita ditemukan rentung dipercayai gagal menyelamatkan diri dalam satu kejadian kebakaran, kira-kira pukul 4.55 petang semalam.
Mayat wanita tersebut dijumpai di bilik tidurnya, pada pukul 5.55 petang. – KOSMO! ONLINE














