PONTIAN – Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor dijangka membincangkan kesediaan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kembali kepangkuan UMNO pada mesyuarat, esok.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, mesyuarat tersebut juga dijangka menyentuh isu berkaitan gesaan menarik balik penggantungan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Menurutnya, sekiranya tiada pihak yang akan membangkitkan perkara tersebut, beliau sendiri akan mengemukakan dalam mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Namun kita yakin ada pihak yang akan membangkitkannya terutama dari UMNO Bahagian Sembrong dan Tebrau,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan Ziarah Ramadan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Pontian di sini, hari ini.
Semalam, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimem Sembrong menyatakan kesediaannya untuk kembali berjuang memperkasa serta memperkukuhkan UMNO jika penggantungan keahliannya ditarik balik oleh parti itu.
Beliau terharu dan berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannnya untuk bersama-sama kembali menyertai UMNO.
Manakala, Maulizan menggesa parti itu menarik balik penggantungan yang dikenakan ke atas beberapa individu sejak tiga tahun lalu termasuk terhadap dirinya. – KOSMO! ONLINE














