SHAH ALAM – Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pendaftaran & Perkhidmatan Perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) didakwa lagi di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan menerima RM13,000 daripada seorang usahawan teknologi.
Tertuduh, Khuzairi Yahaya, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, Khuzairi didakwa menerima wang tunai untuk diri sendiri antara RM2,000, RM3,000 dan RM8,000 daripada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat yang diketahui mempunyai hubungan dengan urusan rasmi tertuduh.
Perbuatan itu dilakukan masing-masing di dua buah restoran termasuk makanan segera serta hospital sekitar Kota Damansara dan Mutiara Damansara di sini antara Julai dan Ogos 2017 selain Januari dan Jun 2018.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama-sama dengan pertuduhan lain.
“Saya juga mencadangkan, tertuduh diberi ikat jamin, mengguna pakai jumlah sama yang ditetapkan Hakim Mahkamah Sesyen di sana,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri.
Peguam Azamuddin Abd. Aziz mewakili tertuduh tidak membantah.
Mahkamah membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan menetapkan sebutan kes pada 20 April.
Kosmo! semalam melaporkan Khuzairi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima wang RM50,000 tanpa balasan daripada anak ketua pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, lapan tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














