PETALING JAYA – Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan tiada sebarang isu berkenaan keputusan yang diambil oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung status pendaftaran pemain warisan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC.
Menurut Windsor, keputusan itu dibuat berdasarkan artikel dalam peraturan pertandingan yang menjadi rujukan rasmi kepada semua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia.
“Bagi pihak AFC, kami menerima keputusan yang dibuat oleh MFL kerana ia mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia. Keputusan itu dibuat dengan disokong Artikel-Artikel Pertandingan MFL maka keputusan MFL itu sepatutnya tiada masalah.
“Malah, peraturan itu juga telah dimaklumkan kepada semua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia jadi semua pihak sudah sedia maklum mengenai peraturan itu,” katanya.
Windsor berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan MFL yang mengesahkan pendaftaran empat pemain warisan sebagai pemain tempatan.
Empat pemain terbabit ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Gabriel Palmero dari Kuching City FC.
Keputusan MFL itu dibuat dengan merujuk Manual Liga Malaysia Edisi 2025 hingga 2026 di bawah Peraturan Pertandingan, Artikel 3 berkaitan sistem pendaftaran dan perpindahan pegawai serta pemain. – KOSMO! ONLINE














