fbpx
Mohamad dan Rohani bersama peserta program itu di Masjid Al Bakri, Kampung Bukit Naga, Seksyen 32, Shah Alam. Foto SHIDDIEQIIN ZON

Tanam sayur di rumah hanya saranan, bukan arahan – Mohamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – “Itu hanya saranan, bukan arahan tetap,” tegas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berhubung cadangan supaya penjawat awam yang memiliki rumah atas tanah menanam sayur sendiri sebagai persediaan sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan.

Menurut beliau, langkah peringkat awal
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu telah bermula sejak tahun lalu namun tiada arahan tetap dikeluarkan.

“Kakitangan kementerian yang rumahnya atas tanah digalak menanam sayuran yang mendapat hasil segera seperti bayam, sawi, terung, kacang panjang dan daun kesum.

“Saya sendiri juga melaksanakan inisiatif itu di kawasan rumah. Selain menjimatkan kos, kita boleh berkongsi hasil dengan orang lain,” katanya ketika ditemui pada program Gema Ramadan 2026 Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Masjid Al Bakri, Kampung Bukit Naga, Seksyen 32 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang mengagihkan sumbangan bubur lambuk kepada 2,000 penduduk kampung itu dan bantuan Aidilfitri kepada 100 penerima asnaf.

Terdahulu, Mohamad selepas pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri menyarankan penjawat awam yang memiliki kediaman ‘landed’ seperti rumah teres dan memulakan inisiatif menanam sayuran di kawasan rumah masing-masing.

Perkara itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai reaksi netizen sehingga tular di media sosial antaranya menganggap ia tidak relevan atau sesuai dilaksanakan.

Mengulas lanjut, kata Mohamad, saranan itu hanya sebagai langkah persediaan seperti dipraktikkan ketika Kempen Buku Hijau pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak.

“Kita mahu menggalakkan supaya ada semangat itu sebab kita tak tidak tahu peperangan itu akan berlanjutan sampai bila. Jika ia tamat dalam beberapa minggu akan datang, kesannya itu akan mengambil masa yang panjang (untuk surut),” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk menyediakan bantuan dalam bentuk pemberian benih bagi merealisasikan perkara itu. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN