PARIS – Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique enggan menganggap pasukannya sudah sebelah kaki ke peringkat suku akhir walaupun menang besar 5-2 ke atas Chelsea pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Pada aksi pertama pusingan 16 terbaik di Parc des Princes itu, PSG meraih bekalan selesa selepas mempamerkan aksi lima bintang hasil jaringan berganda Khvicha Kvaratskhelia dan satu gol sumbangan Ousmane Dembele, Bradley Barcola dan Vitinha.
Menurut Enrique, perjalanan masih panjang dan pasukannya bakal berdepan tekanan hebat apabila mengharungi baki 90 minit perlawanan di Stamford Bridge minggu depan.
“Saya sangat gembira bukan sahaja dengan keputusan tetapi juga ketahanan mental pemain. Chelsea dua kali menyamakan kedudukan, namun kami terus berusaha untuk menang.
“Saya rasa kami tidak mendominasi perlawanan dengan bagus tetapi pemain berjaya memastikan setiap peluang berjaya menerjah jaring. Saya juga tak sangka kami dapat menjaringkan lima gol tetapi inilah bola sepak,” katanya.
Sementara itu, Kvaratskhelia yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak terlalu selesa dengan kelebihan tersebut.
“Kami perlu terus bekerja keras kerana masih ada satu lagi aksi timbal balik yang perlu diharungi. Pasukan perlu buat persiapan rapi dan cuba menang di tempat lawan nanti,” katanya. – AGENSI














