KUALA LUMPUR – Netball Super League (NSL) kian terasa menjelang musim kelima yang bakal berlangsung bulan depan dan perjalanan menuju pentas liga bermula lebih awal dengan penganjuran Klinik NSL 2026.
Tahun ini, Klinik NSL bakal mencipta sejarah dengan pengenalan Klinik NSL Boot Camp, sebuah platform elit yang menghimpunkan peserta terbaik dari setiap lokasi untuk menjalani modul lanjutan bersama jurulatih kebangsaan serta berpeluang beraksi di court rasmi NSL.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, “Klinik NSL diwujudkan sebagai ruang untuk belia menonjolkan bakat dan melihat sejauh mana potensi yang mereka miliki.
“Matlamat kami bukan sekadar memberi latihan, tetapi membuka jalan agar impian mereka dalam bola jaring menjadi lebih dekat dan realistik untuk dicapai.
“Inilah masa depan NSL dan sukan negara. Pendedahan dan bimbingan yang betul, mereka berpeluang menarik perhatian persatuan negeri dan jurulatih kebangsaan. Tidak mustahil juga, peserta klinik tahun ini bakal mewakili negeri atau negara pada masa hadapan,” katanya.
NSL bakal kembali membuka tirai bermula 17 April ini, menjanjikan aksi lebih mendebarkan dengan penyertaan lapan pasukan terbaik berentap di gelanggang yang mana musim kali ini dijangka lebih kompetitif, dinamik dan penuh dengan momen tidak boleh dilepaskan.
Sementara itu, Nicholas turut menegaskan penganjuran edisi kali ini di lokasi terbuka di universiti memberi akses lebih luas kepada semua termasuk pelajar sekolah, mahasiswa serta individu bukan pelajar untuk menyertai klinik yang telah dipertingkatkan kualiti pelaksanaannya.
Program ini berperanan sebagai platform pembangunan akar umbi yang membuka laluan kepada bakat baharu untuk berpeluang melangkah ke Liga NSL atau mewakili skuad kebangsaan pada masa hadapan.
Modul latihan pula akan merangkumi aspek teknikal, taktikal, kecergasan dan mentaliti kompetitif, dibimbing oleh jurulatih profesional dan pemain elit negara bagi memastikan peserta mendapat pendedahan latihan yang menyeluruh dan berkualiti.
Klinik NSL turut menerima sokongan rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), mencerminkan usaha bersepadu dalam memperkasa pembangunan sukan wanita dari peringkat sekolah hingga universiti.
Penyertaan adalah percuma, namun tempat adalah terhad. Belia wanita berusia 15 hingga 24 tahun boleh mendaftar di www.astro.com.my/klinikNSL.














