PETALING JAYA – Nasi kerabu memang sinonim dengan negeri Kelantan, namun satu perkongsian di media sosial mencetuskan perbincangan apabila ramai mendedahkan hidangan itu sebenarnya tidak disajikan ketika Hari Raya Aidilfitri.
Perkara itu timbul selepas seorang pengguna Threads, rizqusyairi bertanya sama ada setiap rumah di Kelantan akan menghidangkan nasi kerabu ketika raya memandangkan ia begitu terkenal di negeri tersebut.
“So kalau raya, memang setiap rumah hidang nasi kerabu ke wei?” tulisnya dalam hantaran yang kini meraih ribuan tontonan.
Menjawab persoalan itu, rata-rata netizen khususnya dari Kelantan menjelaskan nasi kerabu sebenarnya lebih popular sebagai hidangan harian atau ketika berbuka puasa, bukannya menu utama pada pagi raya.
Seorang pengguna, azyatiazaz berkata, kebanyakan rumah di Kelantan menyediakan pelbagai hidangan lain pada pagi raya.
“Buka puasa je nasi kerabu. Raya biasanya hidang nasi tomato, nasi hujan panas, nasi dagang, laksa, nasi impit kuah kacang, lemang dengan rendang, ketupat palas… ehh banyak lagi,” katanya.
Seorang lagi pengguna turut bersetuju dan menyatakan antara hidangan yang sering menjadi pilihan pada pagi raya ialah nasi dagang.
“Roti jala dengan kuzi, nasi dagang,” tulisnya ringkas.
Perkongsian tersebut turut mengundang reaksi lucu daripada pemilik hantaran yang berseloroh mengatakan jika nasi kerabu dihidangkan pada hari raya, ia mungkin akan menjadi ‘pertandingan’ mencari rumah mana yang paling sedap.
“Kalau tak jadi pertandingan nasi kerabu rumah siapa lagi sedap,” katanya.
Meninjau ruangan komen, ramai netizen dari negeri lain mengakui mereka menyangka nasi kerabu adalah menu wajib orang Kelantan ketika raya, namun hakikatnya hidangan tradisional seperti nasi dagang, lemang dan ketupat palas lebih popular di meja hidangan Aidilfitri.-KOSMO! ONLINE














