JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun keseluruhan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini dan 24 sebatan atas 10 pertuduhan memperdagangkan bayi, melakukan amang seksual fizikal dan merakam video penganiayaan seksual, pada dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Imran Abdullah, 30, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan tiga hakim Mahkamah Sesyen, Hakim Mohd Zamir Suhaimee, Hakim Madihah Zainol dan Hakim Nor Aziati Jaafar.
Mengikut tiga pertuduhan pertama, lelaki didakwa memperdagangkan dua bayi perempuan berusia lima hari dan seorang bayi lelaki tujuh bulan bagi maksud eksploitasi aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Muhammad Imran didakwa melakukan semua perbuatan itu di Taman Melor, Tampoi di sini serta Taman Kota Masai dan Taman Scientex, Pasir Gudang antara pukul 9 malam 11 mac hingga 12 tengah hari, 24 November 2024.
Pendakwaan dikemukakan mengikut seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, bagi empat lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas tiga kanak-kanak perempuan berusia lima hingga tujuh tahun ketika kejadian mengikut 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Manakala, dia turut berdepan tiga lagi tuduhan iaitu menghasilkan bahan penganiayaan seksual dengan cara merakam video ketiga-tiga mangsa yang sama mengikut Seksyen 5 akta yang sama.
Kesemua perbuatan itu di dalam bilik tidur dan tepi rumah di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, di sini antara pukul 10.30 pagi hingga 11 pagi, 5 April 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir, Nor Fadilah Johanuddin dan Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Imran Mohamed Sam dan Haziq Ishak.
Dalam prosiding rayuan, lelaki itu meminta hukuman ringan terhadapnya kerana mempunyai tiga anak masih kecil dan menanggung ibu bapa yang sakit selain menyesali atas perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Bagaimanapun ketiga-tiga hakim dalam hujahnya meminta kepentingan awam diutamakan melebihi kepentingan peribadi dan kesan trauma mangsa yang masih kecil serta menetapkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah berat.
Mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh dipenjara secara keseluruhan 18 tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 19 Julai 2025 dan 24 sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh itu dan berada dibawah pengawasan polis selama 2 tahun selepas dibebaskan. – KOSMO! ONLINE














