JITRA – Seorang lelaki berusia 37 tahun maut dalam kebakaran stor penyimpanan khemah di Kampung Pelubang, di sini hari ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.50 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra bergegas ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan khemah yang mengalami kemusnahan kira-kira 70 peratus dan kejadian mengakibatkan seorang lelaki meninggal dunia.
“Berdasarkan maklumat awal daripada orang awam di lokasi kejadian, mangsa dilaporkan terperangkap di dalam stor yang terbakar sebelum berjaya keluar dalam keadaan melecur,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa bagaimanapun rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan satu pancutan menggunakan sumber air daripada tangki jentera.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














