fbpx
Mohd. Annuar (dua dari kanan) bercakap pada sidang akhbar di MAIPk, Ipoh hari ini.

Kutipan zakat Perak cecah RM272 juta tahun lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Zakat Perak Al Ridzuan (Zapar) merekodkan jumlah kutipan zakat sebanyak RM272.07 juta pada tahun lalu berbanding sebanyak RM252.12 juta pada 2024 dengan peningkatan sebanyak RM19.95 juta atau 7.91 peratus.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, wakaf tunai di bawah Waqaf Perak Al Ridzuan mencatatkan jumlah kutipan sebanyak RM3.87 juta serta merekodkan seramai 742 orang pewakaf baharu.

Beliau berkata, perbelanjaan zakat bagi tahun lalu pula adalah sebanyak RM261.54 juta berbanding RM203.33 juta pada  2024.

“Bantuan Kewangan Bulanan merupakan skim dengan peruntukan terbesar, melibatkan agihan sebanyak RM70.60 juta dengan jumlah 14,576 penerima bantuan.

“Dalam aspek kesihatan, melalui Bantuan Hemodialisis, MAIPk membelanjakan sebanyak RM16.44 juta dengan jumlah 640 orang penerima,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Selain itu, Mohd. Annuar berkata, bantuan perubatan turut disalurkan sebanyak RM7.18 juta bagi membantu seramai 839 asnaf menampung kos rawatan, ubat-ubatan dan keperluan kesihatan lain.

Katanya, MAIPk juga menyalurkan bantuan berjumlah RM7.53 juta menerusi Skim Bantuan Bina Rumah kepada 88 orang penerima.

“Bagi sektor pendidikan, dana agihan zakat berjumlah RM27.28 juta disalurkan kepada 41,905 orang pelajar. Manakala melalui teras ekonomi Program Pemerkasaan Asnaf, RM12.45 juta telah dibelanjakan kepada 1,872 penerima bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAIPk akan mengambil inisiatif baharu dengan melantik Amil Agihan sebagai langkah memperkukuh pengurusan dan penyampaian bantuan zakat kepada golongan asnaf.

Beliau berkata, permohonan bantuan zakat yang diterima menunjukkan peningkatan iaitu pada tahun 2024 berjumlah 114,165 kepada 141,164 permohonan pada tahun lalu.

“Inisiatif ini dijangka akan dimulakan dengan projek rintis selama enam bulan melibatkan pelantikan 22 orang Amil Agihan seluruh Perak,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Annuar berkata, tarikh kuat kuasa pelantikan baharu anggota Jawatankuasa Kariah dan anggota Jawatankuasa Pentadbiran Masjid bermula 1 Julai depan hingga 30 Jun 2029. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI