PUTRAJAYA – Kumpulan penjawat awam yang memiliki kediaman di atas tanah seperti rumah teres dan kampung disarankan untuk memulakan inisiatif menanam sayur di rumah sebagai langkah persediaan sekiranya konflik di Asia Barat kekal berterusan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, inisiatif itu melibatkan penanaman sayur yang mudah dituai seperti cili, terung dan kucai.
“Maka, saya akan mengarahkan pegawai-pegawai yang rumah di atas tanah, bukan rumah flat dan rumah pangsa, sekurang-kurangnya memulakan tanaman yang hasilnya cepat.
“Kita akan memulakan program itu seperti Kempen Buku Hijau di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak dulu sebab kita tidak tahu krisis antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran akan tamat,” katanya pada sidang akhbar khas di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohamad turut berharap agar konflik itu dapat diselesaikan segera dan tidak berlaku perkara tidak diingini melibatkan hal bekalan makanan negara.
“Buat masa ini, sambutlah Hari Raya dengan biasa, Insya-Allah makanan semuanya cukup dan terjamin bekalannya,” katanya.
Untuk rekod, Kempen Buku Hijau ialah satu program nasional yang diperkenalkan Tun Abdul Razak pada tahun 1974 ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Kempen itu dilancarkan antaranya bagi menggalakkan rakyat menanam makanan sendiri seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan menternak ayam atau ikan.
Ia bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan selain masalah inflasi dan kekurangan makanan yang berlaku pada awal 1970-an. – KOSMO! ONLINE














