KUALA LUMPUR – Polis telah merakam percakapan 14 saksi setakat ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan melalui tindakan yang didakwa boleh mengancam kestabilan negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kesemua saksi berkenaan dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, hasil semakan bersama Jabatan Imigresen mendapati terdapat beberapa saksi penting telah meninggalkan negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur antara Januari hingga Februari lalu.
“Polis sedang meneruskan usaha untuk mengesan saksi-saksi tersebut bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis komited menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Sehubungan itu, Kumar menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.
Terdahulu, pada 27 Februari lalu, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail mendedahkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan wujud komplot menjatuhkan kerajaan yang dipercayai membabitkan seorang tokoh tempatan berpengaruh serta sebuah agensi media antarabangsa.
Menurut beliau, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Media sebelum ini turut melaporkan sebuah keluarga berpengaruh tempatan didakwa mendalangi komplot berkenaan dengan menggunakan platform media antarabangsa serta pelobi luar negara bagi memberi tekanan kepada kerajaan.
Dakwaan itu terkandung dalam satu laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields yang kemudian tular di media sosial.
Pengadu dalam laporan itu mendakwa gerakan berkenaan membabitkan ahli keluarga terdekat seorang bekas menteri yang pernah mempunyai pengaruh besar dalam landskap politik dan ekonomi negara.
Berdasarkan kandungan laporan polis itu, pengadu turut mendakwa rancangan tersebut dikatakan didalangi isteri kepada bekas menteri berkenaan untuk menggunakan beberapa platform media antarabangsa bagi membentuk tekanan terhadap kerajaan di peringkat global.
Gerakan tersebut dipercayai menyasarkan tekanan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, termasuk berkaitan dakwaan dalam siasatan membabitkan individu tertentu. – KOSMO! ONLINE














