ALOR SETAR – Kerajaan negeri meneruskan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri tahun ini yang dijadualkan 27 Mac ini di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan itu dibuat memandangkan kebanyakan persiapan bagi majlis itu dilakukan lebih awal selain turut melibatkan peniaga kecil di negeri ini.
Beliau menambah, majlis tersebut juga akan dijayakan dengan kerjasama semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri di bawah satu bumbung sebagai menyokong saranan penjimatan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita buat (teruskan) sebab persiapan dan perolehan pun sudah buat, khemah sudah pasang dan makanan pun sudah tempah. Itu pun bantu ekonomi para peniaga juga dan ini acara tahunan… bukan buat hari-hari.
“Kita sokong juga saranan PMX (Perdana Menteri) itu untuk semua agensi mengehadkan penganjuran. Jadi saya jemputlah semua agensi dan GLC untuk berkongsi pada 27 Mac ini. Kita berkongsi raya,” katanya.
Berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyantuni 104 anak-anak yatim bersama EXCO dan keluarga di Bazar Raya Stadium Darul Aman di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang arahan Kerajaan Pusat agar semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan bukan kerajaan (GLIC) supaya tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini.
Keputusan itu susulan pengumuman Perdana Menteri supaya majlis tersebut dibatalkan ekoran kesan ekonomi daripada perang Amerika Syarikat-Israel dan Iran di Asia Barat ketika ini.
Muhammad Sanusi kelmarin memaklumkan rumah terbukanya sempena Aidilfitri akan diadakan pada 27 Mac ini di kediaman rasminya Seri Mentaloon.
Mengulas lanjut kata Muhammad Sanusi, beliau bagaimanapun menyokong langkah Kerajaan Persekutuan membatalkan majlis tersebut di semua peringkat sebagai usaha penjimatan.
“Kerajaan Persekutuan batal, itu bagus kerana agensi dia (kerajaan) banyak, beribu-ribu kan. Tengok jabatan di kementerian. Kita buat satu sahaja. Kalau dia tidak batal mahu jadi beribu majlis. Banyak mana belanja? Jadi saya sokong pembatalan oleh PMX itu.
“Di sini kita belanja murah kerana bergotong royong. Di Kedah satu sahaja. Di peringkat kerajaan kalau kementerian ada 30 agensi jadi kena buat 30 kali. Sesuailah, sebab itu saya sokong. Cuma pakat mai lah 27 Mac ini di Seri Mentaloon kerana semua kita kongsi di situ. Meriah,” katanya.
Tambah Muhammad Sanusi, beliau turut menjemput semua pihak menghadiri majlis tersebut kelak daripada pelbagai lapisan tanpa mengira batasan politik.
“Semua saya jemput kerana ini rumah terbuka sesiapa sahaja tidak kira siapa, parti lain atau parti saya ka. Rakan taulan… musuh ketat. Semua dijemput, ” katanya. – KOSMO! ONLINE














