PETALING JAYA – Seorang pengguna Facebook mencadangkan lima idea dikatakan sebagai di luar kotak bagi mengurangkan kesesakan jalan raya semasa pulang untuk berhari raya ke kampung, dengan salah satunya ialah pergerakan kenderaan mengikut nombor plat masing-masing.
Tarmizi Ishamel menerusi hantaran pada Facebook berkata, sistem nombor plat ganjil dan genap itu dijangka boleh membantu trafik lebih stabil dan tidak terlalu padat dalam perjalanan pulang ke kampung.
“Bayangkan kalau balik kampung dipecahkan ikut nombor plat. Hari pertama, hanya plat ganjil dibenarkan bergerak jauh. Hari kedua, nombor plat genap pula. Dengan cara ini jumlah kereta di lebuh raya boleh turun hampir separuh pada satu masa,” katanya.
Dia berkata, cadangan kedua pula ialah bayaran tol mengikut aliran pergerakan trafik semasa.
“Sekarang tol sama sahaja tidak kira pukul berapa memandu, tetapi bayangkan jika dibuat begini. Waktu puncak, tol lebih mahal. Waktu tengah malam atau awal pagi, tol lebih murah. Tujuannya untuk pecahkan aliran trafik supaya tidak semua orang bergerak pada masa yang sama,” katanya.
Seterusnya idea ketiga ialah cuti pulang ke kampung secara berperingkat memandangkan cuti hari sama untuk semua orang semasa musim perayaan akan menyebabkan kesesakan jalan raya.
“Jika cuti dibuat berperingkat antara sektor atau syarikat, aliran trafik boleh diagihkan sepanjang beberapa hari. Jumlah kereta keluar serentak akan turun dengan jelas.
“Selain itu, cadangan keempat pula ialah kawalan lebih tegas di hentian rehat dan rawat (R&R). Kadangkala kesesakan lebuh raya bermula dari kereta beratur masuk R&R. Apabila parkir penuh, kereta mula berhenti di lorong kiri.
“Lama-lama trafik jadi perlahan. Jika R&R kecil, dihadkan kemasukan atau diarahkan ke R&R lain, kesan jem boleh dikurangkan,” katanya.
Katanya, cadangan lain ialah paparan trafik masa nyata bagi memberi maklumat kepada orang ramai, antaranya kelajuan purata setiap segmen lebuh raya, masa perjalanan sebenar antara bandar, jumlah kapasiti di R&R dalam satu-satu masa serta lokasi ‘smart lane’ yang aktif.
Bagaimanapun, Tarmizi turut mencadangkan dua lagi idea lain iaitu raya secara ‘online’ dan menukarkan kampung menjadi bandar kecil.
“Jika fikir lebih jauh lagi, mungkin 10 tahun akan datang ada idea yang lebih ‘gila’. Panggilan video satu kampung, duit raya transaksi dalam talian sahaja. Atau satu lagi idea ekstrem, tukar kampung jadi bandar kecil.
“Kalau kampung sudah ada sistem MRT atau LRT seperti bandar, mungkin orang tidak perlu memandu jauh untuk bergerak. Bunyi pelik sekarang. Tetapi banyak perkara yang dulu nampak mustahil, hakikatnya mudah.
“Lebuh raya tidak berubah banyak setiap tahun. Selagi berjuta-juta orang keluar pada masa yang sama, kesesakan tetap akan berlaku. Kadangkala penyelesaiannya bukan sekadar tambah lorong. Tetapi ubah cara kita bergerak, berfikir dan merancang perjalanan,” katanya.
Cadangan dan idea yang dikongsikan itu mendapat pelbagai maklum balas dengan ada yang bersetuju serta sebaliknya, tetapi ada juga mencadangkan lagi idea dikatakan ‘di luar kotak’ pada ruangan komen hantaran tersebut.
“Kene buat peraturan penggunaan jalan raya ikut jenis enjin dan cc kenderaan kereta. Pagi tengah hari cc kecil 600cc>1.3cc. Petang, malam 1.5cc-2.0cc, manakala tengah malam, awal pagi cc 2.2cc ke atas. Jika cc kecil, semua sama kelajuan perlahan, kalau sedang-sedang, sama-sama laju. Yang tengah malam, jalan lengang untuk semua cc besar yang memang semua nak ‘berembat’ atas lebuh raya. Cara ini boleh elak kesesakan lebuh raya,” komen Zackry JB Fotoshooter.
“Sistem nombor plat tu ada beberapa negara luar laksanakan. Contoh hari plat warna biru, hanya Isnin dan Khamis saja, plat merah Selasa dan Jumaat. Kalau keluar bukan harinya akan disaman. Cuma kalau begitu jaringan pengangkutan awam mesti kena bagus. Ada alternatif kalau tak dapat bawa kenderaan,” kata Azzai Padzil.
“Sembang, macam ni lah jadinya. Dia ingat Malaysia ni perangai macam orang Jepun kot,” komen seorang individu yang tidak bersetuju dengan cadangan itu. – KOSMO! ONLINE














