JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan terus diberikan bantuan serta sokongan bagi membantu prestasinya biarpun sudah tidak berada dalam skuad kebangsaan dan bergerak secara profesional.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) bagi memantapkan sukan negara.
Jelasnya, Azizulhasni yang mesra dengan panggilan Jijoe membuktikan usia hanya sekadar angka selepas meraih satu pingat emas dan satu gangsa pada Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Perth, Australia minggu lalu.
“Kita sentiasa bekerjasama rapat dengan MSN, ISN dan PKBM bagi memastikan sukan-sukan yang berpotensi mendapat lebih banyak pingat. Kita perlu berfikir di luar kotak dan bukan hanya menumpukan kepada satu atau dua sukan sahaja.
“Untuk Datuk Azizul, saya ucapkan syabas dan tahniah kerana dia sudah menampilkan aksi yang cukup hebat serta membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Kita akan sentiasa berikan sokongan kepadanya dari segi kesihatan, latihan dan pelbagai aspek lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Dana E-Sukan KBS (DEK) 2026 dan Malaysia E-Sports Accelerator Program (MEAP) 2026 di Kuala Lumpur semalam.
Pada saingan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 minggu lalu, Azizulhasni yang digelar sebagai ‘The Pocket Rocketman’ membuktikan dirinya masih berbisa selepas meraih pingat emas acara keirin serta gangsa bagi acara pecut.
Dalam perkembangan lain, Taufiq menjelaskan, pelancaran DEK dan MEAP melibatkan peruntukan RM1.5 juta sangat penting bagi membantu serta menyokong pelbagai projek melibatkan e-Sukan serta kandungan digital.
“Dana ini kita nak memperkasakan e-Sukan dalam negara dan memastikan industri ini terus maju. Selain itu, ia diharapkan boleh membantu kita untuk mencungkil lebih ramai bakat dalam e-Sukan.
“Menerusi dana ini, diharapkan ia dapat membantu atlet-atlet kita supaya dapat mempersiapkan diri dengan lebih baik bagi membolehkan mereka dihantar ke saingan peringkat antarabangsa,” ujarnya.













