LANGKAWI – Seorang lelaki cedera ringan, manakala 27 ekor kucing miliknya mati apabila rumahnya di Kampung Padang Gaong, di sini terbakar pagi tadi.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Langkawi, Penguasa Bomba Mohd. Zamri Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 8.47 pagi dan kebakaran memusnahkan kira-kira 55 peratus rumah berkenaan.
“Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an melecur di bahagian muka dan dada sebanyak 30 peratus. Mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Maliha,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9.58 pagi dan operasi selesai sepenuhnya pada pukul 10.52 pagi. – KOSMO! ONLINE














