KLANG – Sebanyak 103 kontena sisa e-waste yang dikesan di pelabuhan utama negara akan dipulangkan semula ke negara asal mulai 9 April ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, kontena tersebut telah menerima notis arahan dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Ops Bongkar yang dijalankan di semua pelabuhan utama negara bermula 3 hingga 9 Mac lalu.
“Kita bertindak tegas kerana tidak mahu lagi bahan buangan ini masuk ke negara ini kerana ia tidak boleh dileraikan. Selepas notis dikeluarkan, pihak berkaitan diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan.
“Insya-Allah, kesemua e-waste yang telah diberi notis akan dihantar semula ke negara asal pada 9 April ini,” katanya selepas lawatan kerja ke Pelabuhan Klang, hari ini.
Beliau memaklumkan lawatan itu bertujuan meneliti penyelesaian isu lambakan kontena sisa e-waste di pelabuhan. – KOSMO! ONLINE














