fbpx
Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) mempertimbangkan untuk menyenaraikan Sathiya sebagai penerima kelapan bantuan pencen bulanan sebanyak RM500. — SADDAM YUSOFF

YKAT bantu Sathiya dapat kaki palsu, pencen bulanan RM500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Prihatin dengan nasib pelawak Sathiya, Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) mempertimbangkan untuk menyenaraikan artis veteran itu sebagai antara penerima bantuan pencen bulanan sebanyak RM500.

Pengerusinya, Datuk DJ Dave berkata, Sathiya atau nama sebenarnya Sathia Periasamy, 62, layak mendapat bantuan berkenaan berikutan kaki kirinya terpaksa dipotong akibat komplikasi kencing manis.

“Sejak 14 tahun lalu YKAT sudah memberikan pencen bulanan sebanyak RM500 daripada tabung untuk diagihkan kepada penggiat seni yang layak seperti Zaiton Sameon, Mat Sentul, Zainal Rampa, Alfred Ho, Dr. Sam dan beberapa lagi artis veteran.

“Kini kami sedang pertimbangkan untuk menyenaraikan Sathiya sebagai penerima kelapan berikutan keadaannya yang mungkin tidak lagi mampu bekerja.

“Sebelum ini pun Yayasan ada dua kali menyerahkan sumbangan untuk membantunya, namun adanya pencen bulanan nanti lebih meringankan urusan hariannya,” katanya  pada majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Hari Raya Aidilfitri kepada Artis Veteran Tanah Air di Hotel Royal Chulan The Curve, semalam.

Kelmarin, pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi itu sekali lagi terpaksa menjalani pembedahan pada bahagian kaki kirinya di Hospital Ampang.

DJ Dave juga berkata, YKAT turut berusaha mendapatkan bantuan kaki palsu sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk Sathiya.

“Kaki palsu tersebut sudah pun siap namun belum dapat digunakan Sathiya kerana luka pembedahan masih belum sembuh,” ujarnya.

Pada masa sama, DJ Dave turut berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian peruntukan untuk membolehkan YKAT terus membantu penggiat seni veteran yang dalam kesulitan.

“Sebenarnya sudah lapan tahun YKAT tidak menerima sebarang sumbangan daripada kerajaan walaupun beberapa kertas cadangan sudah dikemukakan.

“Sepanjang tempoh ini yayasan banyak melaksanakan aktivitu dan program kebajikan bagi mengumpul dana seperti tahun lepas majlis makan malam yang dapat mengumpul sekitar RM300,000 hasil jualan tempat duduk.

“Dana terkumpul itu membolehkan kami meneruskan pelbagai program kebajikan, bagi sumbangan pada musim perayaan serta bantuan berkala andai ada di antara penggiat seni yang ditimpa musibah,” katanya.

Mewakili ahli lain, DJ Dave berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk salurkan peruntukan kepada YKAT bagi membolehkan misi membantu anak seni dapat diteruskan.

Sementara itu, pada majlis serahan sumbangan kepada 17 penerima berbilang bangsa dengan setiap seorang diberikan sebanyak RM1,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI