fbpx
Khuzairi ketika keluar dari Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

Timbalan CEO SSM didakwa terima RM50,000 daripada anak Hamzah Zainudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pendaftaran & Perkhidmatan Perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang RM50,000 tanpa balasan daripada anak ketua pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin lapan tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Khuzairi Yahaya, 55, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Tidak mengaku salah minta dibicarakan,” kata Khuzairi.

Mengikut pertuduhan, Khuzairi didakwa sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pendaftaran & Perkhidmatan Perniagaan), SSM, telah menerima suatu benda berharga dengan tiada balasan iaitu, wang tunai RM50,000 daripada Muhammad Faisal Hamzah yang mana tertuduh ketahui mempunyai hubungan dengan urusan rasminya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SSM@Sentral di sini pada Mei 2018 yang didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry mencadangkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.

Mendengar permohonan pihak pendakwaan itu peguam Muhamad Aizat Fakri yang mewakili tertuduh tidak membantah dengan cadangan pihak pendakwaan tersebut.

Selepas mendengar permohonan selain mengambil kira tiada bantahan daripada pihak pembelaan, Hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan menetapkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Tarikh 20 April ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI