MELAKA – Tragedi seorang pemuda yang mati ditikam rakannya menggunakan parang di hadapan rumah di Kampung Sungai Udang di sini, malam tadi dipercayai berlaku kerana suspek mengesyaki telefon bimbit miliknya telah dijual mangsa untuk membeli dadah.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 44 tahun bertindak menyerang mangsa kira-kira pukul 8.30 malam selepas pemuda itu dikatakan enggan memulangkan telefon bimbit dipinjamkannya.
“Keadaan itu menyebabkan suspek mengesyaki mangsa telah menjual telefon bimbit miliknya bagi mendapatkan bekalan dadah.
“Kedua-dua mereka kemudian telah bertengkar sebelum suspek dipercayai menikam mangsa menggunakan sebilah parang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini turut membenarkan suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Sekten 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin bermula hari ini hingga 18 Mac depan,” katanya.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna oren dan bergari tangan tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9.05 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE














