SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan terus memperkukuh usaha menangani isu keciciran pelajar termasuk dalam kalangan mereka yang sedang menjalani rawatan di hospital melalui pelaksanaan Program Sekolah Dalam Hospital (SDH).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sehingga kini lebih 450,000 murid telah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan yang dilaksanakan bagi memastikan hak pendidikan setiap kanak-kanak terus terpelihara.
Menurutnya, program tersebut kini dilaksanakan di 20 hospital melibatkan 12 negeri di seluruh negara, manakala dua lagi lokasi baharu sedang dalam proses pelaksanaan di Perak dan Putrajaya.
“Walaupun ada dalam kalangan mereka tidak dapat hadir ke sekolah seperti biasa, kita tetap memastikan proses pembelajaran diteruskan menerusi program ini yang bukan sahaja menyokong aspek akademik, malah turut membantu sebagai terapi kepada pelajar.
“Justeru, modul pembelajaran serta pemilihan guru memainkan peranan penting kerana mereka memberikan komitmen sepenuhnya dalam menjayakan program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Sekolah Dalam Hospital di Hospital Seberang Jaya di sini, hari ini.
Tambahnya, guru yang terlibat turut dibekalkan dengan peranti serta kemudahan sokongan bagi memastikan sesi pengajaran dapat dilaksanakan mengikut keadaan kesihatan pelajar sama ada yang terlantar atau mampu menghadiri kelas.
“Jadi fleksibiliti itu ada kepada guru, dan sebab itu guru-guru kita ini memerlukan pelbagai medium sokongan, termasuk ‘smartboard’, smart TV, iPad dan sebagainya, supaya mereka boleh melaksanakan tugas-tugas itu mengikut kepada keadaan murid-murid,” katanya. -KOSMO! ONLINE














