PETALING JAYA – Ekosistem perniagaan mikro di Malaysia kini semakin tertekan apabila aktiviti rokok seludup terus menguasai pasaran dan mengganggu perusahaan kecil sah yang beroperasi dalam komuniti tempatan.
Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia (MAMBA) berkata, perniagaan mikro terdiri daripada peruncit kecil, kedai runcit, kedai kopi dan kios kejiranan adalah nadi kepada ekonomi berasaskan komuniti di Malaysia, dengan menyediakan barangan keperluan harian di bandar dan kawasan kejiranan.
Setiausaha Agung persatuan tersebut, Alvin Low Wei Yan merujuk kepada statistik daripada NielsenIQ bertajuk Kajian Rokok Haram tahun 2025 memaklumkan bahawa rokok seludup menguasai kira-kira 54.4 peratus daripada jumlah penggunaan rokok di seluruh negara, ia memberi cabaran kepada kumpulan perniagaan tersebut.
“Ini menunjukkan bagaimana pasaran tembakau tidak sah yang besar boleh menjejaskan persaingan dan mewujudkan cabaran kepada usahawan mikro yang beroperasi dalam persekitaran perniagaan yang dikawal selia.
“Perniagaan mikro bergantung kepada transaksi harian yang konsisten untuk mengekalkan operasi mereka. Apabila sebahagian besar pembelian beralih keluar daripada sistem runcit yang sah, perusahaan mikro yang sah sudah tentu akan kehilangan sebahagian daripada pasaran tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Wei Yan menerangkan, ahlinya mematuhi keperluan pelesenan, percukaian, kesihatan dan undang-undang penetapan harga jadi apabila penjual haram beroperasi di luar sistem tersebut, ia mewujudkan persaingan yang tidak adil kepada usahawan yang mematuhi peraturan,” katanya.
“Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam menggalakkan perniagaan kecil menerima pakai pembayaran digital melalui inisiatif institusi kewangan seperti SME Corporation Malaysia dan Bank Negara Malaysia.
“Namun apabila perdagangan haram mengalihkan transaksi daripada perusahaan sah, keseluruhan ekosistem akan terkesan,” jelasnya.
Tambah beliau, PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia, sehubungan itu, keperluan mendesak untuk melindungi mereka yang beroperasi mengikut undang-undang. -KOSMO! ONLINE














