BATU PAHAT – Seorang penyelia lelaki ditahan selepas disyaki mengintai lelaki sedang membuang ‘hajat’ di dalam sebuah tandas kompleks beli-belah di Taman Flora Utama di sini, semalam.
Lelaki berusia 31 itu direman selama dua hari bermula hari ini, selepas Majistret Nurasidah A Rahman membenarkan permohonan polis bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan.
Mengikut laporan dibuat, kejadian berlaku pada pukul 5.15 petang ketika mangsa, lelaki berusia 32 tahun menggunakan tandas awam di kompleks beli-belah terbabit.
Ketika berada dalam tandas, mangsa menyedari seorang lelaki berada dalam tandas bersebelahan, sedang merakamnya dari sudut atas.
Tanpa membuang masa, mangsa terus keluar dari tandas lalu mengejarnya sebelum suspek berjaya ditangkap. Mangsa meminta bantuan pengawal keselamatan untuk menghubungi polis bagi tindakan lanjut.
Bertindak atas maklumat pada pukul 6 petang hari sama, dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) menahan suspek selain merampas telefon bimbit bagi tujuan siasatan lanjut.
Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk ditahan seterusnya direkodkan keterangan.-KOSMO! ONLINE














