fbpx
Mangsa ditemui terlantar di ruang beranda rumahnya di di Jalan Mohd Akhir, Kampung Sungai Udang, Melaka malam tadi.

Pemuda maut ditikam parang angkara telefon bimbit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pemuda berusia 25 tahun maut dipercayai ditikam kenalannya menggunakan parang selepas dikatakan bertengkar berkaitan telefon bimbit, di Jalan Mohd Akhir, Kampung Sungai Udang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa ditemui terlantar di ruang beranda rumahnya dengan tiga kesan tikaman di dada kiri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, kejadian disedari oleh abang mangsa selepas mendengar pergaduhan di antara adiknya dengan suspek yang berusia 44 tahun.

Katanya, suspek kemudian bertindak melarikan diri sejauh kira-kira 300 meter dari lokasi sebelum cuba bersembunyi di dalam sebuah kereta milik orang awam di kawasan berhampiran.

“Siasatan awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa untuk mengambil semula telefon bimbit miliknya yang diberikan kira-kira seminggu lalu, namun berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mereka.

“Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai ditikam di bahagian dada kiri menggunakan sebilah parang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi, malam tadi.

Katanya, suspek bagaimanapun berjaya ditangkap oleh orang awam yang bertindak memecahkan cermin kenderaan berkenaan.

“Semakan awal juga mendapati kedua-dua individu mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

“Bagaimanapun, kita masih lagi menyiasat hubungan kedua-dua mereka,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI