JAKARTA – Beribu-ribu bungkusan milik pelanggan SPX Express di Kota Bontang, wilayah Kalimantan Timur dibiar tersadai dan bertimbun di gudang itu ekoran peletakan jawatan penghantar barang beramai-ramai, lapor portal berita Lambe Turah semalam.
Dalam satu video tular di media sosial, bungkusan-bungkusan itu dilihat bertimbun di gudang sekali gus mencetuskan kebimbangan pembeli mengenai status barangan mereka.
Keadaan bungkusan-bungkusan itu kelihatan terbiar begitu sahaja tanpa ada pekerja yang menyusun atau menghantarnya.
Berdasarkan keterangan di ruangan komen, beberapa pengguna mendedahkan sebab di sebalik keadaan itu.
Akaun TikTok @sandenmac yang memuat naik video tersebut menyatakan bahawa gudang itu terlalu penuh kerana kekurangan kakitangan penghantaran.
“Pekerja-pekerka kurier meletak jawatan,” tulis akaun itu.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan SPX Express mengenai penyelesaian kepada beribu-ribu bungkusan yang tersadai itu atau sebab sebenar di sebalik peletakan jawatan beramai-ramai kurier di kawasan Bontang. – AGENSI














