PUTRAJAYA- Lotus’s Malaysia terus memeriahkan penganjuran Festival Gema Raya 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hingga malam raya nanti dengan menawarkan promosi menarik terhadap 120 produk terpilih.
Lebih menarik, diskaun produk terpilih itu ditawarkan antara 10 hingga 40 peratus yang mana ia boleh dibeli melalui penebusan inisiatif Sara Untuk Semua, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat membuat persiapan Aidilfitri lebih awal.
Pengurus Besar Lotus’s Cawangan Kajang, Noor Rita Kamaruzaman berkata, sebagai Penaja Emas, pihaknya melihat penganjuran program itu sebagai platform terbaik mengeratkan hubungan dengan pelanggan selain mempromosikan rangkaian produk dan tawaran istimewa Raya Lotus’s.
“Menerusi Gema Raya 2026, Lotus’s ingin membantu masyarakat membuat persiapan Aidilfitri, kita bawa lebih 120 produk dengan penawaran diskaun sehingga 40 peratus untuk dibeli pengunjung.
“Pengunjung juga boleh menggunakan inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah dan Sara untuk pembelian itu. Jadi, mereka boleh singgah ke PICC untuk melihat produk ditawarkan kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Untuk rekod, Festival Gema Raya Putrajaya 2026 yang berlangsung selama 33 hari menyediakan lebih 300 vendor barangan perayaan selain menampilkan persembahan artis popular seperti Aina Abdul, Ernie Zakri dan Khai Bahar.

Mengulas lanjut, Noor Rita berkata, Lotus’s turut menawarkan produk sedia untuk dimakan (RTE) pada festival itu bagi memudahkan pengunjung menikmati pelbagai menu pilihan secara lebih cepat dan mudah.
“Memandangkan bulan Ramadan, kita mahu memudahkan pengunjung menikmati juadah berbuka enak dengan cepat. Jadi, produk RTE antara paling mendapat sambutan hangat.
“Antara produk yang menjadi pilihan pelanggan termasuklah tart Portugis selain pelbagai burger jenama CP seperti ayam keju, ayam pedas dan ayam lada hitam,” katanya.
Sementara itu, penganjuran Festival Gema Raya Putrajaya 2026 turut mencipta kelainan tersendiri apabila menawarkan cabutan bertuah Proton e.MAS 5 kepada pengunjung bertuah.
Menurut Timbalan Ketua Pemasaran Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net), Ng Li Lian, penawaran e.MAS 5 sebagai hadiah utama bertujuan mendekatkan jenama kereta elektrik itu kepada golongan masyarakat.
“Jadi, kami mahu masyarakat Putrajaya berasa lebih dekat dengan jenama Proton e.MAS termasuk produk e.MAS 7 dan e.MAS 7 PHEV yang baru dilancarkan baru-baru ini.
“Ketika ini, sambutan yang diberikan pengunjung sangat menggalakkan yang mana ramai antara mereka menunjukkan minat dan ingin mengetahui Proton e.MAS secara lebih lanjut,” katanya.
Susulan itu, Li Lian menyeru kepada seluruh warga Putrajaya dan setempat untuk berkunjung ke PICC bagi merebut peluang memiliki e.MAS 5 menerusi acara cabutan bertuah yang akan berlangsung minggu hadapan. – KOSMO! ONLINE














