fbpx
Sze Yee (dua dari kiri) meninjau pemasangan rangka panjut di Persisiran Sayong menjelang penganjuran Pesta Panjut Kuala Kangsar 2026 pada 15, 16 dan 18 Mac ini di Kuala Kangsar hari ini.

Kerajaan negeri Perak bantu pesta panjut, mahu tradisi kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KANGSAR – Kerajaan negeri Perak menyumbang RM175,000 bagi penganjuran Pesta Panjut Kuala Kangsar 2026 dengan harapan amalan tradisi pelita orang Melayu itu berkekalan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, sokongan kerajaan penting bagi memastikan nilai budaya itu terus hidup tanpa dipinggirkan oleh generasi muda, selain dikenali pelancong.

Katanya, kerajaan berbesar hati dapat membantu program berkenaan yang menjadi sebahagian daripada kemeriahan menjelang Aidilfitri minggu depan.

“Saya ingin menekankan, dana yang disumbangkan ini tidak mencukupi. Ia sekadar bantuan daripada pihak kerajaan negeri kepada mereka yang menyertai.

“Para peserta seperti agensi kerajaan dan kampung-kampung turut mengeluarkan kos mereka sendiri. Sama ada dalam kalangan pekerja ataupun penduduk kampung masing-masing,” katanya kepada pemberita semasa meninjau persiapan pemasangan panjut di Persisiran Sayong di sini hari ini.

Sebanyak tujuh agensi kerajaan, satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta 13 kampung di sekitar Kuala Kangsar menyertai pesta tersebut dan berpeluang memenangi hadiah tempat pertama RM5,000 mengikut kategori.

Kemuncak Pesta Panjut Kuala Kangsar itu akan berlangsung pada 15 dan 16 Mac ini dan orang ramai boleh menyaksikan rekaan panjut di sekitar daerah tersebut mulai pukul 9.30 malam.

Sze Yee menjangkakan tidak kurang 20,000 orang pengunjung daripada pelbagai bangsa yang akan hadir untuk melihat persembahan pelita yang dipasang.

Beliau berpendapat penganjuran itu penting dari sudut pelancongan dan berhasrat meneruskan acara berkenaan pada tahun-tahun mendatang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI