KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyuarakan sepenuh keyakinan skuad badminton negara mampu untuk melakar pencapaian cemerlang pada saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark bulan depan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari tetap percaya dengan kemampuan pasukan negara meskipun prestasi perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia berada dalam situasi terumbang-ambing.
Beliau berkata, seluruh rakyat Malaysia tidak boleh mudah berputus asa meskipun pemain-pemain negara mencatat keputusan tidak seperti diharapkan dalam mana-mana kejohanan yang disertai.
“Kita masih meletakkan satu keyakinan yang tinggi, jangan kita lemah semangat terlalu awal. Apa yang paling penting adalah saya sentiasa optimis untuk melihat bahawa Piala Thomas kali ini kita dapat merangkul kemenangan dengan bergaya.
“Saya sentiasa berhubung dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) untuk memastikan prestasi semua pemain akan terus baik. Pemain-pemain juga perlu terus fokus,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini, hari ini.
Prestasi Zii Jia mencetuskan tanda tanya apabila dia tersingkir seawal pusingan pertama pada kejohanan Terbuka Switzerland di Basel selepas tewas 12-21, 14-21 kepada pemain Singapura, Jason Teh.
Terdahulu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai skuad badminton lelaki negara yang akan beraksi pada Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark bermula 23 April hingga 3 Mei depan. – KOSMO! ONLINE














