PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan di Pahang, Johor dan Sarawak hingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Pahang adalah Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, manakala di Johor adalah Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian dan Kulai.
“Di Sarawak pula, kawasan yang terjejas adalah Sri Aman, Sibu (Selangau), Mukah (Mukah) dan Bintulu,” lapor MetMalaysia.
Tambah MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














