KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan selepas disyaki meragut seorang pelancong wanita warga sepanyol sehingga mendatangkan kecederaan pada 17 Februari lalu di Taman Midah, Cheras.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Superintendan Mohd. Rosdi Daud berkata, kedua-dua suspek yang juga lelaki tempatan diberkas pada Jumaat lalu sekitsr Cheras.
Jelas beliau, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan operasi khas susulan
laporan daripada mangsa berusia lingkungan 20-an pada 1.59 petang pada hari kejadian.
“Berdasarkan laporan mangsa, kejadian berlaku ketika dia bersama ibunya sedang berjalan di kawasan Taman Midah, Cheras sebelum didatangi seorang suspek bermotosikal yang meragut beg silang miliknya.
“Mangsa dikatakan terseret kira kira lima meter sehingga mengalami lebam pada bahu, lutut dan tangan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Rosdi berkata, susulan kejadian itu juga, mangsa yang bekerja sebagai pereka grafik turut mengalami kerugian kira-kira RM2,000.
Menurut beliau, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan jenayah berkenaan.
“Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 27 dan 28 tahun kini reman selama tujuh hari bermula 7 Mac lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE














