KUALA LUMPUR – Pengeluar produk tenusu tempatan terbesar di Malaysia, Farm Fresh Berhad, telah melancarkan iklan Raya terbaharu berjudul ‘Bersama Semoola’.
Berdurasi 12 minit, ia berkisahkan tentang persahabatan, pertemuan semula, minat dan keberanian serta menggabungkan jenaka bersama emosi.
Iklan raya itu telah mula ditayangkan sejak semalam semua platform digital termasuk YouTube, TikTok, Instagram dan Facebook.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, Bersama Semoola mengisahkan empat bekas anggota band era 70-an yang cuba membuat kemunculan semula dengan lagu Raya baharu.
Jelasnya, melalui gelak tawa, muzik serta emosi yang belum terlerai, mereka mengeratkan kembali hubungan dan menemui semula keberanian untuk bermula semula.
“Tahun ini Farm Fresh membawa satu lagi karya yang lain dari yang lain. Filem pendek kami, Bersama Semoola, ingin mengangkat kisah ringkas tentang persahabatan serta kekeluargaan.
“Ia juga menampilkan bagaimana muzik itu mempunyai cara tersendiri untuk menyatukan kenangan lama, melalui filem pendek kami, dan lagu OST kami yang telah dimainkan di radio dan Spotify,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Bersama Semoola dibintangi oleh Khir Rahman bersama Dboy Hamdan, Monrasli Aswad serta Azmi sendiri yang turut memegang peranan penting di layar sebagai salah seorang anggota kumpulan empat sekawan yang menjadi tunjang cerita.
Ia adalah sebuah iklan raya yang meraikan kebersamaan, keluarga, dan kekuatan untuk mengeratkan kembali hubungan, disulami dengan hubungan ayah dan anak perempuannya.
Walaupun banyak filem perayaan menumpukan kepada dinamika keluarga tradisional, Bersama Semoola memberi tumpuan kepada persahabatan yang akhirnya menjadi keluarga.
Pada masa sama, ia turut mengetengahkan watak berusia sebagai teras penceritaan, membuktikan bahawa minat dan semangat tidak pernah luput, malah sentiasa boleh dinyalakan kembali.
Bersama Semoola juga diinspirasikan daripada humor dan keunikan karya Allahyarham Mamat Khalid menerusi ‘Rock Ooo’ yang mana ia menggabungkan elemen nostalgia dengan gaya muzikal sinematik.
Sementara itu, runut bunyi asal ciptaan Margasatwa (Penerbitan Tongkat Sakti) bersama Megat Fazly mengambil ilham daripada lagu-lagu Raya malar segar yang kekal relevan merentasi generasi.-KOSMO! ONLINE














