KUALA LUMPUR – Platform pengiktirafan serantau, ASEAN Records dan ASIA Records menganjurkan acara Gather of Achievers ASEAN Records Ke-8 dan ASIA Records Ke-2 – Sambutan Tahun Baru Cina 2026 di ibu negara baru-baru ini.
Majlis tersebut yang menghimpunkan lebih 100 pemegang rekod bagi meraikan pengiktirafan, jaringan kerjasama serta sambutan perayaan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.
Inisiatif Gather of Achievers mencerminkan visi ASEAN Records dan ASIA Records untuk menjadi lebih daripada sekadar organisasi penyimpan rekod, malah sebagai platform yang menghubungkan serta memupuk komuniti kukuh dalam kalangan pemegang rekod.
Sejak dilancarkan pada November 2024, platform berkenaan telah menganjurkan tujuh acara Gather of Achievers dalam tempoh setahun, menghimpunkan pemegang rekod terdahulu dan baharu bagi berkongsi perjalanan kejayaan, membina kolaborasi serta meraikan pencapaian.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 34 rekod baharu telah diiktiraf, merangkumi 16 rekod ASEAN dan 18 rekod Asia sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasa merentasi pelbagai industri dan sektor.
Sorotan utama malam tersebut ialah pelancaran rasmi ASEAN Food Records dan ASIA Food Records, yang disempurnakan oleh Foong Hin bersama Pengarah ASEAN Records dan ASIA Records, Eldrick Koh serta Gillian Ooi.
Inisiatif itu bertujuan mengiktiraf pencapaian berkaitan makanan dan gastronomi, di samping meraikan kekayaan serta kepelbagaian warisan makanan di ASEAN dan Asia, sekali gus menonjolkan kepentingan budaya serta jenama makanan serantau.
Sebagai subkategori baharu di bawah rangka kerja pengiktirafan ASEAN Records dan ASIA Records, inisiatif Food Records akan mendokumentasi serta mengiktiraf pencapaian makanan yang luar biasa, warisan kulinari tradisional dan jenama makanan unggul, sekali gus mempromosikan budaya makanan yang dinamik di rantau ini.

Penganjur turut berkongsi perkembangan mengenai inisiatif ASEAN dan ASIA Tourism Records, yang sebelum ini diiktiraf oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing pada Februari lalu.
Tourism Records merupakan satu lagi subkategori di bawah rangka kerja ASEAN Records dan ASIA Records yang direka untuk mendokumentasikan destinasi pelancongan melalui rekod yang boleh disahkan serta diukur.
Dengan mengiktiraf keunikan, warisan serta kepentingan sejarah sesebuah lokasi pelancongan, inisiatif itu membantu orang ramai memahami kisah dan identiti di sebalik destinasi tersebut, selain menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam majlis yang sama, ASEAN Records turut mengumumkan bahawa Pengasas Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi telah menyertai organisasi tersebut sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat.
Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam mendokumentasikan pencapaian dan penyimpanan rekod, kepimpinan serta panduan beliau dijangka akan memperkukuh pembangunan ASEAN Records ketika platform itu terus berkembang di peringkat serantau. – KOSMO! ONLINE














