KUALA TERENGGANU – Seramai 14,000 kakitangan kerajaan negeri Terengganu menerima bantuan khas kewangan berjumlah RM500 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan khas Aidilfitri tersebut telah selesai disalurkan kepada penjawat awam negeri ini pada hari ini.
“Bantuan khas (Aidilfitri) ini sudah disalurkan hari ini.
“Harap ia dapat memberi manfaat kepada semua penjawat awam negeri (Terengganu) dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya di sini malam ini.
Terdahulu beliau menghadiri majlis Apresiasi dan Iftar Perdana Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu Kebangsaan (Permata) anjuran Yayasan Terengganu.
Ahmad Samsuri berkata, pemberian bantuan khas Aidilfitri berkenaan merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri Terengganu atas perkhidmatan penjawat awam terbabit.
Beliau berkata, pemberian insentif itu dapat meningkatkan lagi motivasi kakitangan kerajaan negeri ini untuk terus komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.- KOSMO! ONLINE














