JOHOR BAHRU – Seorang wanita ditemukan mati dengan kesan tikaman dalam bilik hotel di Taman Maju Jaya di sini awal pagi tadi.
Mangsa warga asing berusia 37 tahun itu dipercayai ditikam secara bertubi-tubi pada pukul 1.30 hingga 4.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 5.30 pagi dan siasatan awal mendapati terdapat sembilan luka tikaman di tengah dada dan masing-masing satu tikaman di leher, dada kiri serta kanan.
“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami luka tikaman di jari telunjuk kanan dan lengan kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek dipercayai lelaki asing yang melarikan diri selepas kejadian dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan menerusi nombor 07-2182323 bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE














