MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester City, Ruben Dias mengakui teruja menjelang aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu awal pagi esok.
City dijangka turun dengan motivasi cukup tinggi memandangkan mereka sudah pun mencatat kemenangan 2-1 ke atas Los Blancos ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan liga sepusingan (round robin).
Dias berkata, dia dan rakan sepasukan berada dalam mood cukup baik ketika ini, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk The Citizens membawa pulang bekalan selesa untuk aksi timbal balik di Stadium Etihad.
“Saingan kalah mati UCL akhirnya membuka tirai dan semua pemain sangat teruja serta tidak sabar untuk beraksi. Kami seperti anak-anak kecil yang sedang menantikan perlawanan ini.
“Kami semua mahu menjadi sebahagian daripada perlawanan itu nanti kerana ia sangat penting. Secara jujur, semua pemain memasang hasrat untuk turun dan terlibat dalam perlawanan itu nanti,” katanya.
Biarpun pernah menewaskan Real dalam aksi round robin sebelum ini, namun pemain Portugal itu memberi amaran supaya City tidak terlalu selesa kerana apa sahaja boleh berlaku.
“Kami berada pada prestasi terbaik ketika ini tetapi tidak boleh rasa terlalu selesa kerana Real merupakan satu pasukan yang kuat. Kami perlu berada pada tahap terbaik jika mahu pulang dengan kemenangan,” ujar Dias. – AGENSI














