KOTA BHARU – Semua pasar raya besar, pasar raya dan kompleks beli-belah di Kelantan diarahkan untuk menutup sepenuhnya operasi pada 1 Syawal.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, sebelum ini, premis berkenaan hanya diarahkan agar menutup operasi separuh hari pada hari pertama sambutan Aidilfitri pada tahun lalu.
Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan negeri melalui Mesyuarat Exco menerima rayuan daripada persatuan dan pekerja pasar raya yang mahu diberikan peluang bercuti penuh pada hari raya pertama.
“Sebelum ini premis hanya ditutup separuh hari dan pekerja pasar raya seolah-olah tidak dapat menikmati suasana beraya sepenuhnya bersama keluarga.
“Keputusan tersebut selari dengan usaha kerajaan negeri untuk menghargai Aidilfitri sebagai hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Hilmi memberitahu, langkah itu secara tidak langsung dapat menjaga kebajikan pekerja dalam sektor berkenaan.
Katanya, peraturan tersebut turut akan diguna pakai pada hari pertama sambutan Aidiladha tahun ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, premis makanan segera dan kedai serbaneka hanya dibenarkan beroperasi selepas pukul 1 tengah hari pada hari pertama Aidilfitri.
Menurutnya, kerajaan negeri turut memberi kelonggaran kepada pasar raya dan kompleks beli-belah untuk melanjutkan waktu operasi sehingga pukul 12 tengah malam pada malam raya.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu mendapat persetujuan antara majikan dan pekerja selain mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa.
“Kebiasaannya, premis itu beroperasi sehingga pukul 10 malam. Jika ada permohonan, kita boleh mempertimbangkan lanjutan sehingga pukul 12 tengah malam bagi memudahkan orang ramai membuat persiapan akhir,” katanya. – KOSMO! ONLINE














