SINGAPURA – Seorang penghantar barang di Singapura didenda SG$2,000 (RM6,000) oleh mahkamah selepas membuang seekor ikan arowana Asia berharga SG$1,500 (RM4,600) yang sepatutnya dihantar kepada pelanggan, lapor laman berita VNExpress.
Mohamad Isman Rosli, 26, membiarkan ikan itu mati selepas pesanan daripada aplikasi penghantaran dibatalkan, sebelum membuangnya ke dalam tong sampah tanpa memaklumkan kepada penjual atau pembeli.
Arowana Asia merah itu merupakan pesanan pertama Isman sebagai pemandu penghantaran, yang diterimanya sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan) pada 7 Oktober tahun lalu.
Kira-kira 40 minit selepas dia mengambil ikan di kolam ternakan, tugasan itu dibatalkan disebabkan ralat aplikasi, demikian menurut dokumen mahkamah.
Isman kemudian meninggalkan ikan itu di dalam beg dalam keretanya selama kira-kira empat jam tanpa penjagaan yang betul. Dia hanya kembali ke kolam untuk menyerahkan ikan itu sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) keesokan harinya, selepas menyelesaikan penghantaran lain.
Memandangkan kemudahan tersebut ditutup, Isman membawa pulang ikan itu, dan mendapati bahawa ia telah mati sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.
Dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat yang mengakibatkan kematian ikan dan berbohong kepada polis dengan mendakwa bahawa dia telah mengembalikannya ke kolam ikan. – AGENSI














