BATU PAHAT – Seorang pekebun terpaksa menyambut Aidilfitri di dalam tirai besi selepas gagal menjelaskan denda RM1,500 dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memiliki senapang angin buatan sendiri, bulan lalu.
Mohamad Faizal Dinyanti, 38, yang masih bujang sebelum itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 serta penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki senjata tiruan berupa senapang angin buatan sendiri di sebuah rumah di Kampung Sungai Dulang, Rengit, pada pukul 12.30 tengah malam, 8 Februari lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 yang mana boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.-KOSMO! ONLINE














